SakCu pelitup antimikrob

MEXICO CITY: Sebuah universiti melalui institut kajian bahan mencipta pelitup  muka dengan lapisan nano perak dan tembaga yang meneutralkan SARS-CoV-2, iaitu virus yang menyebabkan Covid-19.

Para pengkaji National Autonomous University of Mexico (UNAM) memberi nama SakCu bagi pelitup muka antimikrob dengan tiga lapisan itu; Sak bermaksud perak dalam bahasa Maya dan Cu adalah simbol kimia bagi tembaga.

Menurut warta rasmi universiti itu, untuk menguji pelitup itu, para penyelidik mengambil titisan mengandungi virus daripada pesakit positif Covid-19 di Hospital Juarez di Mexico dan meletakkannya pada lapisan perak-tembaga yang disimpan dalam polipropilena.

UNAM menyatakan bahawa jika kepekatan virus itu tinggi, lebih 80 peratus virus tersebut akan hilang dalam masa kira-kira lapan jam dan jika beban virus adalah rendah pula, tiada RNA virus dapat dikesan dalam masa dua jam.

Sebaik sahaja berlaku sentuhan pada lapis nano perak-tembaga, membran SARS-CoV-2 pecah dan RNAnya rosak.

Justeru, walaupun jika SakCu dibuang dengan cara yang tidak betul, ia tidak akan menjadi masalah kerana tidak akan terus tercemar, seperti banyak pelitup lain yang dibuang.

Malahan pelitup muka itu boleh digunakan semula dan boleh dicuci hingga 10 kali tanpa kehilangan ciri biosidanya.

UNAM tidak akan menghasilkan pelitup itu dalam jumlah yang besar dan menyatakan ia buat masa ini mempunyai keupayaan menghasilkan 200 pelitup sehari.

Related posts

Leave a Comment