Covid-19: Zoo Melaka tutup 5 hari

MELAKA 10 Feb. – Zoo Melaka ditutup selama lima hari mulai hari ini selepas seorang daripada penjaga haiwan dikesan positif Covid-19, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman.

Beliau berkata penutupan itu bertujuan memberi laluan untuk kerja-kerja sanitasi selama tiga hari di zoo termasuk kemudahan di dalamnya, seperti kafe, pentas persembahan haiwan, kaunter tiket dan stesen trem.

Setakat ini hanya seorang kakitangan didapati positif dan jangkitan adalah daripada ahli keluarga.

“Penutupan ini bagaimanapun tidak melibatkan operasi pentadbiran dan pengurusan haiwan di Zoo Melaka, ia berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Shadan berkata, kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan dan pembersihan kawasan zoo juga akan dijalankan sepanjang penutupan sementara itu sebagai persediaan menghadapi cuti sekolah mulai 26 Februari hingga 20 Mac ini.

Katanya, lebih banyak pintu masuk ke Zoo Melaka akan dibuka bagi memastikan pengunjung tidak beratur panjang dan mengelak mereka berkumpul di luar terlalu lama.

Pada cuti Tahun Baharu Cina lalu, Zoo Melaka merekodkan sebanyak 32,800 pengunjung dalam tempoh tiga hari bermula 1 Februari dengan purata 10,000 pelancong setiap hari bagi tempoh terbabit.

“Sejak 1 Januari hingga hari ini pula, lebih 50,000 orang direkodkan berkunjung ke Zoo Melaka dan dijangka terus meningkat menjelang curi sekolah Mac depan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment