Kini kes harian cecah 19,000

PUTRAJAYA 10 Feb. – Jika semalam tular jumlah palsu 19,944 kes Covid-19, hari ini angka 19,000 menjadi kenyataan apabila kes harian merekodkan 19,090 kes berbanding semalam 17,134 kes.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,975,422 individu di negara ini sudah dijangkiti virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 18,956 kes tempatan dilaporkan melibatkan 18,446 warganegara (97.3%) dan 510 bukan warganegara (2.7%) manakala 134 adalah kes import melibatkan 87  warganegara (64.9%) dan 47 bukan warganegara (35.1%).

Katanya, daripada jumlah kes dinyatakan itu, 99.41 peratus atau 18,977 kes adalah dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 4,898 kes (25.66 peratus) adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu dengan 14,079 kes (73.75 peratus) adalah pesakit kategori dua.

Selain itu, 113 kes atau 0.59 peratus pula ialah pesakit kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal. Daripada jumlah itu 79 kes dalam kategori tiga, kategori empat (28) dan kategori lima (enam kes).

Sebanyak 5,712 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 2,835,464 kes manakala 158 kes (86 kes disahkan Covid-19; 72 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan) memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Di samping itu, 78 kes (35 kes disahkan Covid-19; 43 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan) memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu terdapat 14 kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan 6,555 kluster dengan 395 kluster aktif dan 6,160 kluster tamat.

Related posts

Leave a Comment