Sabah lepasi angka 1,000

KOTA KINABALU 5 Feb. – Kes harian Covid-19 di Sabah melepasi angka 1,000 selepas kira-kira empat bulan mencatat tiga angka dengan 1,205 jangkitan baharu direkodkan, hari ini berbanding 909 kes yang direkodkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata peningkatan mendadak itu tiga kali ganda dalam tempoh tiga hari, daripada 476 kes kelmarin, antara lain disebabkan peningkatan kes sporadik hampir di semua daerah dan dijangka terus meningkat dalam masa terdekat.

Katanya, peratusan kes baharu yang berpunca daripada jangkitan sporadik adalah tinggi dengan sebanyak 527 kes atau 43.7 peratus daripada jumlah kes hari ini.

“Ini menunjukkan virus -19 sudah bertapak dalam komuniti dan mengakibatkan kadar jangkitan yang lebih cepat serta meluas,” katanya.

Adalah dijangka jumlah kes harian akan terus melambung naik dalam tempoh terdekat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, empat daerah mencatat kes tiga angka dengan Sandakan melaporkan jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 230 kes, diikuti Kota Kinabalu (213), Penampang (113) dan Tuaran (113).

Tiga belas daerah lagi mencatat kes dua angka dengan 84 kes di Papar, diikuti Kota Marudu (74), Beaufort (62), Ranau (55), Lahad Datu (53), Tawau (52) dan Kota Belud (33). Hanya daerah Kalabakan tidak merekodkan sebarang kes baharu pada hari ini, manakala baki sembilan daerah lagi mencatat kes satu angka.

Related posts

Leave a Comment