Lonjakan kes di Malaysia

PUTRAJAYA 5 Feb. – Jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 terus melonjak kepada 9,117 setakat jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 2,904,131 orang.

Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes harian melebihi 9,000 adalah pada 8 Oktober tahun lalu dengan 9,751 kes dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, semua negeri mencatatkan pertambahan kes dengan Selangor menjadi negeri tertinggi melaporkan kes baharu dengan 2,490 kes.

Ia diikuti Sabah sebanyak 1,205 kes, Johor (901), Kedah (847), Kelantan (673), Kuala Lumpur (584), Pulau Pinang (522), Pahang (470), Negeri Sembilan (416) dan Melaka (395), Perak (231), Terengganu (123), Putrajaya (115), Perlis (88) dan Sarawak (42).

Daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 99.5 peratus atau 9,070 kes dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Sebanyak 0.5 peratus atau 47 kes pula dalam kalangan pesakit kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 8,983 kes adalah penularan tempatan dengan 134 daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Daripada jumlah kes aktif di negara ini terdapat 123 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 81 kes disahkan Covid-19, manakala 42 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini sebanyak 67 kes iaitu 34 kes disahkan Covid-19, manakala 33 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Terdapat 10 kluster baharu dikesan hari ini menjadikan kini sebanyak 353 kluster yang masih aktif di negara ini.

Related posts

Leave a Comment