SEREMBAN 30 Julai – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, menjelaskan pengguguran penyandang sebagai calon adalah kerana parti mahu memastikan keseimbangan dan memberikan peluang kepada calon muka baharu.
“Kita nak kekalkan supaya ada penyertaan calon wanita yang lebih tinggi. Kalau tidak, tak cukup. Kalau dahulu sebelum (adanya) Kerajaan Perpaduan, PKR boleh bertanding 15 sehingga 20 kerusi.
“(Tetapi) sekarang kita ada enam (kerusi) sahaja. Enam itu kita nak pastikan paling kurang satu pertiga itu adalah wanita,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, malam tadi.
Justeru beliau menafikan pengguguran nama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek disebabkan kelantangannya mengkritik kepemimpinan parti itu.
Menurut Rafizi, terdapat juga penyandang lain yang digugurkan daripada senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Semalam Mohamad Rafie membuat kejutan di Pusat Penamaan Calon DUN Ampangan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi apabila tampil sebagai calon Bebas.
Mohamad Rafie kemudiannya mendakwa namanya tidak dicalonkan sebagai calon PKR di kerusi itu atas arahan dua pemimpin berkepentingan dalam parti iaitu Rafizi dan Naib Presiden, Aminuddin Harun selepas dimaklumkan sendiri oleh Presiden, Anwar Ibrahim pada 26 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pemilihan calon itu keputusan parti dan sesiapa yang mahu menjadi wakil rakyat, perlu tertakluk kepada perkara itu.
“(Contohnya) kalau bertanding sendiri, saya sendiri pun tak akan mendapat tempat. Saya bertanding dan mendapat tempat kerana parti dan anggota parti serta parti itu diterima oleh rakyat,” katanya.
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Mohamad Rafie akan disaingi oleh calon Pakatan Harapan (PH), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ghazali Zainal Abidin.
