MoH siasat kesilapan beri dos keempat

SINGAPORE 4 Feb. – Kementerian Kesihatan (MoH) sedang menjalankan “siasatan menyeluruh” berhubung kes seorang wanita berusia 103 tahun tersilap diberi suntikan dos keempat vaksin Covid-19 pada 13 Disember 2021.

Menurut MoH, wanita penghuni Rumah Jagaan ECON Healthcare -Chai Chee meninggal dunia pada 10 Januari , sebulan selepas diberi suntikan dos keempat itu oleh sebuah pasukan vaksinasi bergerak dari PanCare Medical Clinic

Wanita itu yang sebelum itu sudah menerima tiga dos suntikan vaksin dimasukkan ke Hospital Besar Changi pada 16 Disember 2021, setelah mengalami radang paru-paru dan hiponatremia dan kemudian didiagnos diserang angin ahmar.

Hasil bedah siasat mendapati punca utama kematian wanita itu disebabkan oleh radang paru-paru dengan faktor penyumbang yang lain iaitu ‘cerebral infarction’ (atau strok) dan penyakit arteri koronari, yang merupakan proses penyakit biasa yang berlaku dalam warga emas.

“Koroner belum lagi menentukan sama ada punca kematian wanita itu ada kaitan dengan vaksinasi tersebut,” kata MoH yang memandang serius kejadian itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh”yang dijangka selesa pada Februari.

Siasatan awal menunjukkan vaksin itu tersilap diberi disebabkan kemungkinan adanya kelemahan dalam prosedur vaksinasi dan komunikasi antara rumah jagaan dengan penyedia khidmat perubatan yang mengendalikan vaksinasi itu.

Related posts

Leave a Comment