PRN : UMNO, Pejuang mahu 42 kerusi

KUALA LUMPUR 24 Jan. – UMNO dan Pejuang masing-masing akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pendirian itu dinyatakan kepemimpinan utama parti itu sebagai persiapan menghadapi PRN berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada Sabtu lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkata, walaupun perbincangan mengenai kerusi tersebut masih belum diadakan, tetapi itu sasaran parti setakat itu.

“Kita lihat minimum 42 kerusi, untuk UMNO sahaja, 42 kerusi daripada 56,” katanya

selepas menghadiri kes melibatkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan UMNO perlu terus bersedia dengan memberikan tumpuan kepada pengundi muda dan di Johor, ada lebih 700,000 (pengundi baharu).

“Ini bukan kerja mudah untuk UMNO. Kita tak tahu apa yang akan berlaku,” ujarnya.

Katanya lagi, walaupun UMNO kini dalam keadaan terbaik, strategi ampuh perlu dirancang kerana setiap pilihan raya tidak sama cabarannya.

“Kita tak boleh kata kita menang besar di Melaka dan Sarawak, kita boleh ambil mudah di Johor. Kita perlu bekerja keras terutamanya dengan pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik

“Kita tak kenal mereka, kita tak tahu kecenderungan mereka, siapa mereka sokongan, adakah mereka akan keluar mengundi dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding 42 kerusi di kawasan majoriti Melayu, kata Bendahari Agung Pejuang, Dr Saharuddin Mohd Salleh seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan untuk bertanding secara solo atau berganding dengan Pakatan Harapan (PH).

“Pejuang cadang bergerak secara solo dalam PRN ini kerana percaya akan menang di kerusi yang kita tandingi. Perbincangan dengan PH dalam peringkat akhir dan Pejuang akan putuskan nanti selepas meneliti beberapa perkara.

Kita yakin orang Melayu akan memilih Pejuang. Jika menang kita akan bentuk kerajaan sendiri walaupun dua pertiga majoriti menang atau 36 kerusi DUN negeri sudah boleh membentuk kerajaan,” katanya

Ini PRN pertama akan menyaksikan Pejuang bertanding dalam pilihan raya buat kali pertama selepas menolak untuk bertanding dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.

Saharuddin yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, keyakinan Pejuang mampu menarik sokongan Melayu adalah berasaskan program yang dibuat parti itu menerusi siri jelajah Tebuk ke seluruh negeri sejak hujung tahun lalu.

Beliau memberitahu, program yang bermula November lalu memperkenalkan moto parti Berintegriti, Bersih, Cekap dan Amanah menerima maklum balas yang amat memberangsangkan.

Related posts

Leave a Comment