‘Gali KWSP’ ketika waktu susah pandemik

ABAH, ada duit atau tak ada duit, abah kena cari.  Anak-anak tahu, Abah pun susah tapi, anak-anak biasanya ‘jarang ambil tahu’ sama ada Abah ada duit atau tidak. Setiap hari, kalau nak ke sekolah, abah wajib beri duit saku.

Semalam, Sabtu abah muncul di televisyen untuk satu perutusan khas. Anak-anak menanti dengan penuh sabar. Adakah Abah akan memberi sesuatu bagi meringankan beban, walaupun tidak semua tetapi kepada kumpulan yang cukup tertekan dan amat memerlukan.

Ramai yang masih menaruh harapan duit caruman mereka di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan ‘ketika waktu susah pandemik’.

Malangnya tidak ada yang menarik. Abah bercerita mengenai Covid-19, kaitannya dengan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, Pilihan Raya Negeri Sarawak dan darurat. Ada juga pasal bajet.  Abah akan dengar hasrat ‘anak-anak’.

Tetapi anak-anak Abah kebanyakannya tidak ambil pusing hal itu kerana apa yang dikatakan sudah ada dalam pengetahun mereka. Maklumlah maklumat sekarang berada di hujung jari.

Banyak perkara yang dihubungkait dengan Covid-19, Pak Long dan Pak Ngah boleh jelaskan. Boleh dikatakan saban hari Pak Long dan Pak Ngah akan muncul memberi pelbagai nasihat dan maklumat kepada anak-anak Abah mengenai Covid-19 termasuk berkaitan pilihan raya.

Kecuali hal berkaitan bajet, kebanyakan anak Abah berkata perutusan itu ‘tidak menarik’, lebih sedih tidak kurang juga anak-anak yang mencemuh. Ada yang berkata Abah tidak sepatutnya muncul semalam jika sekadar ‘itu yang hendak dijelaskan’. Elok keluarkan sahaja kenyataan akhbar.

Anak-anak Abah sudah ‘ketagih’ perutusan seperti ketika Mak Cik Kiah yang menjual goreng pisang dan suaminya pemandu Grab mendapat habuan, begitu juga kemudahan untuk pemilik restoran mi kolok Haji Salleh, pemilik salon Madam Lee dan pengusaha kilang perabot, Surjit Kaur.

Salah satu yang menjadi harapan anak-anak Abah semalam adalah ‘jalan keluar’ mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP. Anak-anak Abah tahu, itu wang untuk hari tua. Malangnya sebelum ‘tua’ mereka sudah terasa beban ‘hari tua’.

Malahan dalam situasi pandemik ini, yang tua pun perlu berjimat cermat lebih-lebih lagi masih banyak komitmen setelah bersara atau hilang kerja sama ada diberhentikan atau dibersarakan sebelum sampai usia persaraan.

Kebanyakannya masih menanggung hutang sama ada hutang rumah, hutang kereta, hutang belajar, ditambah pula bil telefon @ wifi, bil Astro, bil elektrik, bil air, yang nampak makin ‘mencanak naik’ ketika musim PKP ini.

Anak-anak Abah dari ‘keluarga KWSP’ ini tidak seperti anak-anak Abah dalam perkhidmatan awam yang masih boleh bekerja walaupun dari rumah. Setiap bulan ada duit masuk walau di mana mereka bekerja berbanding ‘keluarga KWSP’ yang duduk di rumah tanpa kerja.

Golongan ‘keluarga KWSP’ ini juga bukan seperti warga pencen perkhidmatan awam yang setiap bulan ada wang pencen sehingga ke akhir hayat. Kadang-kadang ada kenaikan. Sedangkan simpanan KWSP semakin susut setiap bulan, mungkin kosong sebelum hayat berakhir.

Bagi keluarga KWSP ini, warga tua sedang merasai hasil simpanan Akaun 1 mereka tetapi dalam situasi pandemik ini, mereka juga perlu beringat dan berjimat kerana simpanan itu lambat laun akan susut. Bukit jika ditarah akan rata juga.

Sebagai warga tua atau pesara mereka hanya membantu sekadar termampu untuk membantu keluarga yang anak-anak menganggur atau hilang pekerjaan. Bukan sedikit yang menjadi penganggur. Ada sahaja perusahaan yang tutup.

Namun sebahagian besarnya masih cekal berusaha untuk kelangsungan hidup. Mereka melakukan apa sahaja dengan kemampuan kudrat mereka.

Dulu Atok pernah kata mereka ini (anak-anak Melayu) malas. Tidak. Mereka buat macam-macam kerja, cuma bukan di tengah panas. Siang hari kerja di pejabat, malam pun bekerja termasuk berniaga di merata pasar malam.

Tetapi hari ini, pasar malam sepi, hampir tidak dibuka atau dibuka tetapi kekurangan pembeli. Ada yang buat dua kerja ini berjaya tetapi yang buat satu kerja selepas dibuang kerja masih teraba-raba, ada yang berniaga hidup segan mati tak mahu dan ada yang gagal. Modal habis begitu sahaja.

Abah telah banyak membantu melalui moratorium. Terima kasih Abah tetapi itu hanya untuk sementara. Habis tempoh, suasana kembali seperti biasa. Di sana sini, bank tidak pernah leka mencari peminjam untuk jelaskan hutang.

Benar, pengeluaran Akaun 1 ini tidak sewajarnya terutama bagi yang simpannya amat terhad. Difahamkan, 71 peratus  daripada ahli aktif dalam KWSP mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka.

Memang gerun juga melihat statistik simpanan itu. Benar, itu duit mereka tetapi Abah juga bertanggungjawab untuk memastikan kehidupan anak-anak KWSP Abah masih mempunyai simpanan hari tua. Mereka tidak ada pencen yang setakat hari ini dijamin kerajaan. Itu dilema Abah.

Ada yang berkata, RM10,000 itu amat bernilai ketika ini, berbanding RM10,000 setelah bersara atau usia tua. Itu persepsi masing-masing.  Bergantung kepada usia dan ke mana perginya RM10,000 itu yang mungkin bagi orang tertentu ibarat ‘dicelah gigi’.

Carilah jalan atau kaedah terbaik supaya mereka yang benar-benar layak dibenarkan mengeluarkan caruman itu.  Tidak semua layak. Bergantung kepada jumlah yang ada dan ke mana tujuan atau keperluannya. Biar situasi menang-menang bukannya menang merana.

Abah kena perhalusi  banyak pandangan yang dilontarkan kerana yang melontar pandangan itu pelbagai, ada mewakili sektor swasta yang terlibat dengan caruman dan ada yang bergaji tetap dan berpencen yang tiada pengalaman sebagai pesara ‘keluarga KWSP’.

Kecuali Abah ada pilihan lain untuk membantu anak-anak Abah yang masih menuntut caruman Akaun 1. Abah tentunya tidak mahu Akaun 2 habis, Akaun 1 semakin susut. Sebarang pendirian Abah biarlah anak-anak boleh terima. Jangan pula Abah rotan anak-anak yang masih meminta itu ini yang tidak mampu Abah sediakan.

Semoga bajet ini ada sesuatu yang boleh melegakan walaupun tidak menggembirakan.

Related posts

Leave a Comment