MKT tentukan kerjasama UMNO-Pas

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Keputusan sama ada UMNO akan bekerjasama dengan Pas atau sebaliknya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, akan diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tidak lama lagi.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, berkata pimpinan parti mengambil maklum pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang lebih cenderung untuk bertanding secara solo, tanpa kerjasama dengan Pas atau parti lain.

Katanya, pandangan BN Johor yang disuarakan Pengerusinya, Hasni Mohammad, akan diambil kira sebelum pimpinan tertinggi parti membuat keputusan mengenai pendekatan UMNO dalam PRN Johor.

“Itu (kerjasama Muafakat Nasional dalam PRN Johor) belum kita putuskan, tapi mengikut apa yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Pengerusi BN Johor, mereka lebih cenderung untuk berseorangan.

Jadi, kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pusat dan akan putuskan dalam mesyuarat khas MKT kita mengenai bagaimana cara kita hadapi PRN Johor,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Semalam Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin, berkata parti itu berharap ada harapan untuk kerjasama Muafakat Nasional (MN), pada PRN Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Hasni Mohammad, yang juga Menteri Besar.

Katanya, Pas Johor sudah berhubung dengan pihak UMNO Johor dan telah mendapat maklum balas baik untuk bertemu Menteri Besar.

“Pas pusat juga sudah memberikan lampu hijau buat Pas Johor supaya menjayakan usaha penyatuan MN itu. Harapnya kita dapat mencapai persefahaman bagi tujuan berkenaan,” katanya hari ini.

Pada PRN Melaka baru-baru ini, Pas memutuskan untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun Pas tewas semua lapan kerusi yang ditandinginya.

Related posts

Leave a Comment