PRN Johor semakin dekat

ISKANDAR PUTERI 20 Jan. – Menteri Besar, Hasni Mohammad hari ini memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal diadakan dalam masa terdekat. dan jika diadakan tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberi jaminan pelbagai program yang dirancang kerajaan negeri terutama pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet Johor 2022 akan berjalan seperti biasa.

“Kerajaan Pusat memberi pilihan untuk PRN dan di peringkat kerajaan negeri sekiranya PRN Johor diadakan, pelbagai program akan berlangsung seperti biasa,” katanya ketika merasmikan Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini, hari ini.

Kenyataan Hasni itu mengukuhkan lagi spekulasi Johor bakal berdepan PRN dalam tempoh terdekat.

Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan akan meneliti kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membuat pertimbangan sama ada PRN perlu diadakan atau sebaliknya.

Ia susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham  Osman Sapian, 21 Disember lalu.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu), manakala Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Osman.

Related posts

Leave a Comment