Sedia hadapi ancaman serentak

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa masyarakat bersiap sedia menghadapi ancaman serentak wabak Covid-19 dan penyakit pernafasan lain menjelang musim bunga nanti.

Ketua Teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr. Maria van Kerkhove berkata, keadaan itu berlaku apabila pergaulan antara masyarakat meningkat, serta patogen sistem pernafasan lain seperti influenza merebak ketika musim bunga.

Beliau memberi amaran itu pada satu taklimat media semalam (12 Januari) berhubung situasi semasa Covid-19.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pula menegaskan peningkatan kes didorong oleh varian Omicron yang pantas menggantikan Delta di hampir semua negara.

Lebih 15 juta kes baharu jangkitan Covid-19 di seluruh dunia telah dilaporkan pada minggu lepas, bilangan terbanyak kes dilaporkan dalam tempoh seminggu manakala jumlah kematian mingguan kekal stabil sejak Oktober lalu, dengan purata 48,000.

Menurut Tedros, meskipun bilangan pesakit dimasukkan ke hospital meningkat di kebanyakan negara, ia tidak berada pada tahap seperti gelombang sebelum ini.

“Kemungkinan varian Omicron tidak terlalu serius serta imuniti daripada vaksinasi yang semakin meluas atau jangkitan sebelum itu,” katanya.

“Mari kita jelaskan: Omicron menyebabkan simptom kurang serius berbanding Delta, tetapi kekal sebagai virus berbahaya, terutamanya bagi mereka yang tidak divaksinasi,” kata Tedros.

Sementara itu Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan,menafikan kenyataan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, mengatakan jangkitan varian Omicron seharusnya ‘dialu-laukan’ kerana ia mungkin menjadi penamat pandemik Covid-19.

Ryan, ketika diminta mengulas kenyataan itu, berkata walaupun Omicron mungkin jangkitan virus yang kurang serius, ia tidak bermakna koronavirus itu kurang berbahaya.

Katanya, terdapat ramai pesakit di hospital serata dunia, ada yang dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan kesukaran bernafas yang ternyata ini bukan penyakit ringan.

“Ini adalah penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, boleh dicegah menerusi langkah kawalan bagi mengelak jangkitan dan menerima suntikan vaksin.

“Banyak yang boleh kita lakukan, ini bukan masanya untuk menyerah atau ‘mengalu-alukan’ virus terutama yang boleh membunuh,” katanya.

Menurut Ryan, semua usaha perlu dilakukan bagi membanteras Covid-19 kerana kadar kematian dan kesengsaraan akibatnya boleh dicegah dengan vaksin yang sesuai.

Brazil kini di tangga ketiga paling terjejas akibat Covid-19 selepas Amerika Syarikat (AS) dan India, dengan 22,716,931 jangkitan termasuk 620,371 kematian.

Related posts

Leave a Comment