Omicron: Jangan kibar bendera putih

GENEVA: Jangan menyerah kalah atau mengibar bendera putih kepada varian Omicron kerana ia bukannya penamat pandemik, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Katanya, walaupun Omicron menyebabkan penyakit yang kurang teruk berbanding Delta, ia kekal sebagai virus berbahaya terutama bagi mereka yang tidak divaksin.

“Kita tidak boleh membenarkan virus ini terus merebak atau kita mengibarkan bendera putih terutama apabila begitu ramai orang di seluruh dunia masih belum divaksinasi.

“Majoriti besar orang yang dimasukkan ke hospital tidak menerima vaksin,” katanya pada taklimat media.

Menurut WHO, lonjakan kes jangkitan Omicron global menunjukkan varian itu lebih mudah disebarkan berbanding varian Delta yang lebih dominan sebelum ini.

Lebih daripada 15 juta kes dilaporkan kepada WHO minggu lalu dengan berjuta-juta lagi kes tidak direkodkan.

Tedros menegaskan vaksin dikenal pasti berkesan untuk mencegah kematian akibat Covid-19 dan kesan penyakit yang teruk, namun ia masih tidak dapat menghalang penularan sepenuhnya.

“Lebih banyak penularan bermakna lebih banyak kemasukan ke hospital, lebih banyak kematian, lebih ramai orang tidak bekerja termasuk guru dan pekerja kesihatan.

“Wujud risiko lebih banyak varian lain muncul, yang lebih mudah merebak dan lebih ramai mati daripada kesan jangkitan Omicron,” katanya.

Tedros berkata jumlah kematian di seluruh dunia kini stabil dengan rekod sekitar 50,000 seminggu.

“Belajar untuk hidup dengan virus ini tidak bermakna kita boleh atau harus menerima jumlah kematian ini,” katanya.

Tedros mahu setiap negara memastikan sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk mereka divaksin menjelang akhir September 2021, 40 peratus menjelang akhir Disember dan 70 peratus menjelang pertengahan 2022.

Bagaimanapun , 90 negara masih belum mencapai 40 peratus, dengan 36 daripadanya masih kurang daripada 10 peratus.

Related posts

Leave a Comment