Peningkatan kes di Malaysia

PUTRAJAYA 13 Jan. – Sebanyak 3,684 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Malaysia setakat tengah hari ini, menunjukkan peningkatan berbanding 3,198 semalam dan 3,175 pada hari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam perkongsian di media sosial berkata, kes hari ini menyumbang kepada sejumlah 2,798,917 kes positif setakat ini.

Katanya,  sebanyak 3,363 daripadanya adalah penularan tempatan membabitkan 3,274 atau 97.4 peratus warganegara dan 89 atau 2.6 peratus bukan warganegara, manakala 321 kes import daripada 233 rakyat Malaysia dan 88 warga asing.

Daripada 3,684 kes harian dilaporkan hari ini; sebanyak 34 kes atau 0.9 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; serta sebilangan 3,650 kes atau 99.1 peratus lagi daripada kategori 1 dan 2.

Sebanyak 192 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 91 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, lapan lagi kluster jangkitan dikesan hari ini, menyumbang kepada sebanyak 6,192 setakat ini, dengan 6,014 kluster sudah ditamatkan dan 178 kluster masih aktif.

Beliau berkata, sebanyak 3,292 kes sembuh dilaporkan hari ini, menyumbang kepada sejumlah 2,726,891 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 atau 97.4 peratus daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan di negara ini.

Katanya, tiada kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir, sama ada yang berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka, Johor dan Sarawak atau yang berada di kediaman masing-masing.

Related posts

Leave a Comment