16 kluster babitkan jemaah umrah

PUTRAJAYA 11 Jan. – Kementerian Kesihatan mengesan 16 kluster jangkitan Covid-19 termasuk tujuh dengan kes indeks varian Omicron membabitkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi antara 25 November hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata enam lagi kluster membabitkan kes indeks diandaikan Omicron yang sedang menunggu keputusan penjujukan genom keseluruhan (WGS).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata tiga lagi kluster membabitkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Beliau berkata, daripada jumlah kluster itu, empat kluster membabitkan kes dari Pahang, masing-masing tiga kluster dari Kelantan dan Kedah, dua kluster dari Johor serta masing-masing satu kluster dari Sabah dan Labuan.

Katanya, satu kluster membabitkan kes dari Pahang dan Johor manakala satu kluster lagi dari Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Kluster Keratong 5 Saudi di Rompin, Pahang mempunyai jumlah kes paling tinggi iaitu 36 kes. Kes indeks disahkan varian Omicron dengan dua kes jangkitan import dan 34 kes kontak keluarga.

Kes dalam kluster itu adalah ahli keluarga dari Pahang dan Johor dengan kadar positiviti 81.8 peratus.

Selain itu, ada dua lagi kluster membabitkan jemaah umrah dalam daerah sama iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi.

Related posts

Leave a Comment