Kaji semula hubungan UMNO – PH

KOTA TINGGI 13 Julai – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara meluluskan tiga usul secara sebulat suara, termasuk menggesa jawatan presiden dan timbalan presiden parti dipertandingkan pada pemilihan yang dijadualkan dua tahun lagi.

Ketuanya, Dr Adham Baba, berkata UMNO Tenggara juga meminta pucuk pimpinan mengkaji semula hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan kini.

“Parti juga perlu menunaikan janji untuk membebaskan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjarakan. Banyak jasanya kepada negara,” katanya berucap pada mesyuarat berkenaan.

Persidangan di Felda Sayong, dekat sini, dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Luar, menegaskan beliau sedia mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO jika ia dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka pada 2026 nanti.

Katanya, tiada halangan untuk jawatan disandangnya dan juga jawatan presiden parti dipertandingkan, namun perlu berlangsung secara sihat dan tidak memecahkan UMNO.

“Saya akan pertahanankan (jawatan Timbalan Presiden UMNO), kita akan ‘bersilat’ sama-sama. Kalah atau menang itu adat pertandingan, biasa dalam demokrasi yang sihat.

“Ini termasuk juga jawatan lain seperti di peringkat cawangan, pemilihan untuk memantap dan memperkasakan parti, terutama dalam organisasi tersusun seperti UMNO. Pilihlah yang terbaik daripada yang baik.

“Terpulang pada perwakilan untuk buat pemilihan agar parti terus menjadi sebaik mungkin untuk berdepan PRU (pilihan raya umum) atau PRN (pilihan raya negeri),” katanya.

Related posts

Leave a Comment