BANGKOK 9 Jan. – Thailand buat hari kedua melaporkan lebih 8,000 kes jangkitan harian Covid-19 dengan merekodkan 8,511 kes baharu, meningkat sedikit berbanding 8,263 yang dicatatkan semalam.
Sebelum ini, sejak 30 Disember 2021, Thailand merekodkan kes harian lebih 3,000 kes sehingga 5 Januari merekodkan 3,899 kecuali 2,927 pada 3 Januari seterusnya 5,775 (6 Jan) dan 7,526 (7 Jan).
Menurut Kementerian Kesihatan Awam, 12 lagi kematian direkodkan hari ini berbanding 14 kes yang dilaporkan semalam.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 2,269,550 dengan jumlah kematian pula sebanyak 21,825 orang.
Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat 350 kes import, dan 20 kes melibatkan penghuni penjara.
Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan Wilayah Timur merekodkan 921 kes, Samut Prakan 669, Bangkok 598, Nonthaburi 436, Phuket 416, Ubon Ratchathani 409, Surin 307, Khon Kaen 275, Chiang Mai 268 dan Rayong 259.
Titik panas masih di daerah Bang Lamung di mana 477 jangkitan baharu dikesan, diikuti 129 kes di daerah Muang.
Sejak pandemik bermula awal tahun 2020, sebanyak 2,269,550 kes Covid-19 direkodkan dengan kes sembuh sebanyak 2,193,867 manakala sejak gelombang ketiga merekodkan 2,240,687 dan 21,731 kematian.
Sementara itu, sebanyak 2,605 pesakit dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,193,867 orang manakala 53,858 menerima rawatan perubatan.