Jangan panik kompaun RM10,000

ALOR SETAR 12 Mac – Masyarakat tidak perlu cemas dan panik dengan kes individu dikenakan kompaun RM10,000 yang tular dalam media sosial, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, nilai kompaun maksimum RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuat kuasa semalam, hanya untuk kesalahan berulang.

Beliau berkata setiap individu yang dikenakan kompaun seperti itu boleh mengemukakan rayuan, dengan jumlah maksimum hanya dikekalkan terhadap pesalah berulang termasuk pemilik premis hiburan.

Katanya, nilai maksimum itu termaktub dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam kelmarin, dan jumlah pengurangannya akan diputuskan mahkamah serta budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) apabila pesalah membuat rayuan.

“Di dalam notis saman itu hukuman itu adalah berdasarkan seksyen yang berkaitan… selepas pindaan ini, dia tulis maksimum RM10,000… polis kena tulis RM10,000, dia tak boleh tulis RM1,000.

“Tapi rayuan boleh dibuat di pejabat kesihatan daerah bukan kepada polis… jadi masa nak bayar kompaun, merayulah dan saya percaya pegawai kesihatan daerah pasti akan memberikan pengurangan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian selepas melawat seorang veteran Angkatan Tentera (ATM) Md Salleh Ahmad, di kediamannya di Jalan Masjid Seberang Pantai Johor, Alor Setar, hari ini.

Katanya, keputusan menaikkan nilai kompaun itu, bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.

Related posts

Leave a Comment