KTMB gantung tugas kakitangan

KOTA BHARU 9 Jan. – Gara-gara tidak berhenti di hentian, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas kakitangannya dan menjalankan siasatan sekiranya berlaku kecuaian yang menyebabkan 100 pelajar tidak dapat ke sekolah.

KTMB dalam satu kenyataan mengesahkan kereta api Shuttle Timuran nombor 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada pukul 4.05 pagi ini, tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada pukul 7.08 pagi.

“KTMB memandang serius dan kesal dengan kejadian itu. Lebih kesal lagi, ia membabitkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan semula sesi persekolahan, hari ini.

“Justeru, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terbabit, serta kesal atas kejadian yang berlaku,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan kesemua pelajar terbabit tidak dapat ke sekolah dan terpaksa pulang semula ke rumah masing-masing pada hari pertama persekolahan penggal ketiga 2021/2022.

Berdasarkan jadual, kereta api itu sepatutnya berhenti di hentian Kuala Gris pukul 6.59 pagi untuk mengambil pelajar berkenaan dan tempoh perjalanan mengambil masa 20 minit untuk tiba di Dabong.

Bagaimanapun, kereta api dari Wakaf Bharu, Tumpat ke Dabong itu tidak berhenti di Hentian Kuala Kris.

Related posts

Leave a Comment