Kematian di UK cecah 150,000

LONDON 9 Jan. – Angka kematian rasmi United Kingdom akibat pandemik Covid-19 meningkat melebihi 150,000 semalam (Sabtu) berikutan gelombang tinggi kes disebabkan oleh varian Omicron.

Kira-kira 313 kematian dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif Covid-19 dilaporkan pada Sabtu, menjadikan jumlah kematian 150,057.

Perdana Menteri Boris Johnson dalam satu kenyataan berkata, koronavirus telah membawa kesan buruk kepada UK dan semalam jumlah kematian yang direkodkan telah mencapai 150,000.

Justeru katanya, jalan keluar wabak ini adalah untuk semua orang mendapatkan dos penggalak mereka atau dos pertama atau kedua jika mereka belum melakukannya.

Britain menyaksikan lonjakan kes yang dikaitkan dengan varian koronavirus Omicron dalam beberapa minggu kebelakangan ini, walaupun kadar kematian lebih rendah berbanding semasa gelombang jangkitan sebelumnya.

Kerajaan telah memberi tumpuan untuk melancarkan vaksin dos penggalak – yang telah menjangkau lebih daripada 60 peratus penduduk dan tidak kembali kepada langkah penutupan yang dilakukan pada awal pandemik itu merebak.

Kira-kira 1.227 juta orang telah diuji positif untuk Covid-19 dalam tempoh tujuh hari yang lalu, 11 peratus lebih daripada minggu sebelumnya, manakala jumlah kematian mingguan meningkat 38 peratus pada minggu sebelumnya pada 1,271.

Terdapat tanda-tanda jumlah kes baharu mungkin memuncak, dengan 146,390 kes baharu dilaporkan pada Sabtu, turun daripada rekod 218,724 pada 4 Januari.

Jumlah kematian terkumpul Britain adalah yang kedua tertinggi di Eropah, di belakang Rusia.

Bagaimanapun, berdasarkan asas per kepala, Amerika Syarikat, Itali, Belgium dan beberapa negara di Eropah timur mempunyai kadar kematian kumulatif yang lebih tinggi.

Related posts

Leave a Comment