5 negeri mengundi ketika pandemik

NEW DELHI 9 Jan. – Ketika jangkitan Covid-19 di India meningkat secara mendadak, lebih 183 juta orang, 85 juta daripadanya wanita akan keluar mengundi dalam pilihan raya lima negeri di India yang dijadualkan pada Februari dan Mac ini.

Semasa mengumumkan jadual pilihan raya itu semalam, Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya Sushil Chandra tidak begitu bimbang dengan risiko penularan Covid-19.

Beliau menegaskan bahawa lonjakan jangkitan baru-baru ini adalah dari tempat-tempat seperti Maharashtra, Delhi dan Karnataka, dan bukan dari negeri-negeri yang terlibat dengan pilihan raya itu.

“Tidak perlu panik”, tetapi masih perlu berhati-hati dan mematuhi penjarakan sosial dan amalan pencegahan Covid-19 yang sesuai”, kata Chandra.

Kesemua 215,368 pusat mengundi akan dilengkapi “kemudahan pencegahan Covid” seperti pembersih tangan, pengimbas haba, pelitup muka dan sarung tangan.

Di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk dan penting daripada segi politik, pengundi akan keluar mengundi mengikut tujuh fasa antara 10 Februari dan 7 Mac untuk 403 kerusi dewan undangan negeri.

Punjab, Uttarakhand dan Goa akan mengundi pada 14 Februari dan Manipur di wilayah timur laut terpencil akan mengundi dalam dua fasa pada 27 Februari dan 3 Mac.

Jumlah kerusi dewan undangan di Punjab adalah 117, diikuti 70 kerusi di Uttarakhand, 60 kerusi di Manipur dan 40 kerusi di Goa.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi menguasai empat negeri manakala parti Kongres pembangkang berkuasa di Punjab.

Pengiraan undi akan berlangsung pada 10 Mac.

Semalam, India melaporkan 141,986 kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.

Jangkitan meningkat secara mendadak berbanding angka empat digit harian pada Disember.

Related posts

Leave a Comment