Zahid tidak dihubungi Kor Ming

BAGAN DATUK 11 Feb. – Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak pernah dihubungi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk berbincang mengenai isu pencalonan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan UNESCO, setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga tidak tahu menahu siapakah pemimpin UMNO yang didakwa sudah dihubungi Kor Ming berhubung perkara itu.

“Beliau (Kor Ming) tidak pernah menghubungi saya, mungkin pemimpin lain saya tidak tahu,” kata Presiden UMNO itu kepada pemberita selepas mengadakan Kunjungan Kasih Sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, UMNO yang dipimpinnya itu tetap dengan pendirian menolak keras cadangan Naib Pengerusi DAP itu sebagaimana kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kelmarin.

Asyraf Wajdi telah mengeluarkan kenyataan dan itulah pendirian rasmi dari UMNO,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming dilaporkan berkata beliau telah menghubungi pemimpin UMNO bagi mengatur pertemuan untuk menjelaskan cadangannya berkaitan pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kor Ming baru-baru ini mencadangkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Pada Jun tahun lalu, Kor Ming juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid mengunjungi keluarga angkatnya berbangsa Cina Beh Song Wan, 61, dan isterinya, Tian Mee Ping, 55, serta dua anak mereka.

“Setiap tahun tanpa gagal saya akan ke rumah Bujang (Beh) ini, walaupun setahun sudah ibu beliau meninggal dunia, saya tetap datang sebagai menghormati beliau,” katanya..

Ahmad Zahid berkata, esok genap setahun ibu Beh yang juga ibu angkatnya, Cheah Seoh Lian meninggal dunia.

Cheah meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu dalam usia 83 tahun ketika tidur di kediaman yang sama.

Related posts

Leave a Comment