58 lagi kes varian Omicron

PUTRAJAYA 4 Jan. – Kementerian Kesihatan mengesan 58 lagi kes positif Covid-19 varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), menjadikan jumlah jangkitan varian berkenaan kini 122 kes .

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata daripada 58 kes yang dikesan itu, sebanyak 54 kes jangkitan import dari luar negara, manakala empat kes lagi penularan tempatan.

Beliau berkata, 39 daripada 54 kes jangkitan import dikesan dalam kalangan individu yang pulang dari Arab Saudi; tujuh dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE); empat kes dari United Kingdom; dua kes dari Nigeria; dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

Katanya, empat kes penularan tempatan dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif Covid-19 varian Omicron.

Ujian jujukan genom penuh (WGS) ke atas sampel-sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron masih dijalankan dan Kementerian akan memaklumkan perkembangan terkini berhubungan pengesahan varian Omicron dari semasa ke semasa.

“Dengan keputusan terbaharu ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia sebanyak 122 kes. Daripada jumlah ini, 117 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala lima kes lagi penularan tempatan.

Khairy berkata, sebanyak 71 kes atau 58.2 peratus daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan membabitkan jemaah umrah.

Selain itu, hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR terhadap 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember 2021 mendapati 1,220 atau 68.8 peratus daripada sampel menunjukkan kemungkinan (presumptive) varian Omicron.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 928 (76.1 peratus) membabitkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

Sementara itu, Khairy dalam kenyataan berkata, empat penularan tempatan varian Omicron yang dilaporkan hari ini, berlaku di Kedah.

Semua kes adalah rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang balik dari mengerjakan umrah pada 12 Disember lalu dan disahkan positif varian Omicron pada 24 Disember.

Pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember dan mereka mula bergejala dengan kategori 2 pada 17 Disember.

“Ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember adalah positif dengan CT Value antara 20.80 hingga 21.49.

“Mereka diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Berikutan itu, Khairy mengingatkan agar individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan itu, kekal dalam bilik berasingan, dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu lain.

Related posts

Leave a Comment