Ambil dos penggalak selepas 3 bulan

PUTRAJAYA 28 Dis. – Kementerian Kesihatan memutuskan bahawa sela masa bagi dos penggalak vaksin Covid-19 disingkatkan kepada tiga bulan yang merangkumi vaksin primer Pfizer dan AstraZeneca (AZ).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kumpulan kerja teknikal telah menilai bukti sedia ada dan memberikan saranan baharu mengenai pemberian dos penggalak Covid-19.

Sebelum ini,  hanya vaksin CoronaVac (Sinovac) yang ditetapkan sela masa tiga bulan.

Jelasnya, keputusan menyingkatkan sela masa itu adalah sama seperti yang dilakukan oleh badan-badan regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia.

Bercakap pada sidang media hari ini, Khairy berkata, semua warga emas berumur 60 tahun ke atas dan individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin disyorkan menerima vaksin penggalak sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

Khairy, berkata hasil dapatan kajian klinikal dan kajian Real World termasuk ‘The Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines Under the Malaysia National Covid-19 Immunisation Programme’ (RECoVaM) yang telah dijalankan di Malaysia telah menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 adalah berkurangan dengan masa.

Katanya, data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

Selain itu, bukti kukuh yang telah terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan bahawa vaksin penggalak Covid-19 berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.

“Hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom telah menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment