Shukor juga turun padang

Petikan Astro Awani

SEPANG 28 Dis. – Kekurangan fizikal tidak pernah menghalang Mohamad Shukor Jab yang juga orang kelainan upaya (OKU) untuk turut sama membantu meringankan beban mangsa banjir.

Walaupun terpaksa bertongkat kerana kehilangan sebelah kaki, namun, semangat dan keinginan membantu golongan yang memerlukan khidmat kerja-kerja pembersihan mengatasi kekurangan dalam diri lelaki berusia 45 tahun itu.

Bersama-sama dengan kumpulan ‘Dirt Buster Team’, Mohamad Shukor yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan pada usianya 11 tahun merupakan antara peserta sukarelawan yang turun ke daerah ini membantu membersihkan kediaman mangsa yang rosak akibat bencana alam.

Kata Mohamad Shukor, rasa simpati dan kesedihan melihat nasib menimpa mangsa-mangsa banjir menjentik nalurinya untuk menyertai kerja-kerja kemasyarakatan ini.

“Melihat kepada apa yang mereka alami, memang sesiapa saja akan rasa terpanggil untuk datang, kesian mereka. Saya sendiri walaupun OKU tapi tengok keadaan mereka, hilang dan terlupa apa yang saya kurang.

Setakat ini saya sertai kumpulan ‘Dirt Buster Team’ yang sangat komited untuk tolong mangsa bencana banjir. Hari ini kita cubalah tolong penduduk di sekitar kawasan ini kerana sukarelawanpun sudah semakin kurang di sini,” katanya berkongsi cerita penglibatannya dalam kerja-kerja pembersihan pasca banjir ini bersama Astro AWANI.

(selak-selak turut terharu dengan kesungguhan anak kampung Guar Perahu ini)

Related posts

Leave a Comment