19 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 20 Dis. – Kementerian Kesihatan melaporkan 19 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 31,044 orang, daripada 2.71 juta kes positif yang direkodkan di negara ini.

Menurut data di portal COVIDNOW, empat daripada 19 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 53,482  kes aktif Covid-19 di seluruh negara di mana daripada jumlah itu, 45,147 individu atau 84.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,013 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 3,932 kes dirawat di hospital dan 390 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 179 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 211 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment