PUTRAJAYA 24 Jan. – Semua pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 layak mendapat potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa pada 27 dan 28 Januari ini sempena Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan yang dibuat pada mesyuarat Kabinet hari ini, membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Beliau berkata, potongan tol akan dilaksanakan bermula pada pukul 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir pukul 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.
Katanya, ia dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan selaras usaha penyelarasan subsidi sebelum ini, yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40,
“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma itu diberikan kepada semua, termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati,” kata Anwar.
Sementara itu, Nanta Linggi menjelaskan pengumumannya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet 20 Disember lalu.
“Namun mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Ia selaras agenda kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.
“Pemberian ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang sekian kalinya diberikan Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sejak 2023, kerajaan membelanjakan RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan tol percuma musim perayaan hingga tahun lalu.
Beliau berharap, semua pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini.
“Pengguna disaran memuat turun aplikasi MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan pemanduan.
“Pengguna lorong ‘smart lane’ diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki laluan itu yang diaktifkan, selain memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.
Beliau berkata, pengguna turut disaran menyemak status trafik semasa atau insiden di lebuh raya yang dikemas kini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).
Nnn