Bomba siasat punca flat terbakar

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Bantuan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada mangsa kebakaran lapan unit Flat Sri Johor di Cheras, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut mengumumkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan kediaman baharu untuk mangsa yang terlibat.

“Ada lapan unit yang terlibat dalam kebakaran ini dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar memaklumkan kepada saya, pihak DBKL akan menyediakan rumah baru kepada mangsa yang terlibat.

“Bagi 32 unit lagi iaitu tingkat tiga ke bawah, pihak bomba akan lakukan siasatan, jika didapati tidak lagi merbahaya, mereka boleh pindah balik.

“Untuk sementara ini mereka akan ditempatkan di dewan sebelum dibenarkan balik dan yang lapan unit akan diberikan rumah baru,” katanya selepas mengadakan lawatan di lokasi kebakaran malam tadi.

Kebakaran di Flat Sri Johor di Cheras yang berlaku malam tadi berjaya dikawal oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Pasukan Bomba dan Penyelamat (PKPjB) Nordin Pauzi.berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran itu.

Katanya Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan dari MERS999 pada pukul 9.17 malam seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Pasukan operasi jentera adalah dari BBP Bandar Tun Razak dan jentera bantuan daripada BBP Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras bersama jentera FRT-3, Water Tanker-3, dan EMRS-1, ALP-1, TTL-1, RIM-2 dengan kekuatan 35 anggota lain-lain pangkat.

Beliau memaklumkan kebakaran berlaku di tingkat empat melibatkan lapan buah rumah yang dianggarkan berkeluasan 20 x 40 kaki persegi.

Related posts

Leave a Comment