8.45 malam, 45 kerusi GPS bentuk kerajaan

KUCHING 18 Dis. – Setakat pukul 8.45 malam ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan GPS berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertanding atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 itu.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh mengumumkan kejayaan GPS itu pada sidang media malam ini.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Antara kerusi dimenangi GPS ialah DUN Gedong yang ditandingi Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg dan kawasan ditandingi kedua-dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Awang Tengah Ali Hasan dan Douglas Uggah Embas masing-masing di Bukit Sari dan Bukit Saban. 

Selain itu, DUN Batu Kawah yang ditandingi Presiden SUPP  Dr Sim Kui Hian, Tanjung Datu (Azizul Annuar Adenan) dan Krian (Friday Belik).

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

GPS meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan Pas (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini.

Related posts

Leave a Comment