PUTRAJAYA 11 Dis. – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin diarahkan untuk membayar hanya RM100,000 daripada jumlah RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti itu.
Hakim Mahkamah Rayuan See Mee Chun, ketika membacakan penghakiman berkata bahawa pampasan RM10 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Zuraida adalah tidak munasabah.
Bagaimanapun, panel tiga hakim itu terrdiri daripada See, Azman Abdullah dan Ahmad Kamal Md Shahid dalam keputusan sebulat suara, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti.
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan memihak kepada PKR dalam saman terhadapnya.
Hakim tersebut mendapati bon tersebut adalah kontrak yang sah dan mengikat.
Saman tersebut difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020, bagi pihak parti untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.
Dalam penyataan tuntutan, PKR mendakwa bahawa Zuraida telah menandatangani syarat bon pada 25 April 2018, yang mengikatnya untuk membayar RM10 juta kepada parti seperti yang dinyatakan dalam terma dan syarat bon tersebut.
PKR mendakwa bahawa Zuraida bersetuju untuk membayar RM10 juta kepada parti dalam tempoh tujuh hari, sekiranya berlaku beberapa kejadian, selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR, termasuk jika beliau meletak jawatan dari parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Parti itu mendakwa bahawa pada atau sekitar 24 Feb 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen (MP) PKR mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada parti tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang, dan akhirnya menubuhkan blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).
Zuraida, dalam pembelaannya mendakwa bahawa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Mengenai isu yang dibangkitkan oleh peguam perayu bahawa pampasan RM10 juta adalah tidak wajar, Hakim See berkata Mahkamah Rayuan mendapati bahawa RM10 juta tidak boleh dianggap sebagai pampasan yang wajar.
Walaupun terdapat kepentingan sah bagi pihak berkenaan untuk mengekalkan kedudukan politiknya, namun RM10 juta itu adalah tidak seimbang dengan kepentingan yang ingin dilindungi parti dalam pelaksanaan bon tersebut.
Hakim See juga berkata bahawa jumlah tersebut tidak seimbang kerana 22 bulan perkhidmatan perayu yang tidak dipertikaikan sebagai ahli Parlimen tidak diambil kira.
“Adalah tanggungjawab kami untuk menentukan jumlah pampasan yang wajar. Kami berpendapat bahawa jumlah tersebut harus mempertimbangkan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan dalam PRU-14 untuk sebuah kerusi Parlimen iaitu RM200,000, 22 bulan perkhidmatan perayu sebagai ahli Parlimen dan sumbangan perayu dalam parti serta kempen PRU-14,” katanya.
Sementara itu, Zuraida dalam reaksinya menyatakan, keputusan mahkamah itu, merupakan tamparan hebat kepada parti di mana keputusan ini menunjukkan PKR telah membuat pertalian yang sangat tidak adil kepada anggota partinya.
Katanya, pelbagai keringat dicurahkan selama 25 tahun berkhidmat kepada parti termasuk menaikkan nama parti, menambah keahliannya dan memenangkan kerusi atas kekuatan serta kebolehan sendiri.
“Jadi saya tidak bergantung kepada PKR, sebaliknya mereka yang bergantung kepada saya. RM10 juta itu memang tidak munasabah maka apabila mahkamah perintahkan supaya membayar RM100,000, saya nak bayar seringgit-seringgit,” katanya berseloroh, ketika sidang akhbar selepas prosiding selesai.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan, nilai ganti rugi berkenaan sebagai derma kepada parti itu.
Katanya, jika diikutkan perasaan, beliau enggan membayar saman terbabit walau RM1, kerana memikirkan parti itu bertindak secara tidak saksama kepada ahli.
Beliau berkata, ini juga menjadi pengajaran kepada parti-parti lain yang hendak mengikat ahli anggota, untuk mendapatkan kesetiaan.
“Kesetiaan bukan kepada parti tetapi ada pada perjuangan, namun sekiranya perjuangan tidak betul, tak kan kita mahu kekal di situ lagi,” katanya.
Nnnnn
