Ali dapat 1,777 undi selepas tarik diri

SARATOK 18 Dis. – Ahli Parlimen Saratok dari Bersatu, Ali Biju yang menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas berjaya memperoleh 1,777 undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Beliau memperoleh undi ketiga tertinggi selepas calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik memperoleh 3,885 undi diikuti pencabar terdekatnya, Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 2,953 undi.

Friday Belik menang dengan majoriti 932 undi manakala seorang lagi calon Bebas, Danny Kuan daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) pula memperoleh 282 undi.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli menarik balik pencalonannya selepas membuat kejutan pada hari penamaan calon 6 Disember lepas apabila bertanding sebagai calon Bebas.

Keputusan itu disifatkan bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu  Muhyiddin Yassin bahawa parti itu tidak mengambil bahagian pada PRN itu sekali gus menyokong penuh calon GPS.

Penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal itu kemudian mengumumkan menarik diri bagi memelihara muafakat dan persefahaman antara GPS dengan Perikatan Nasional dan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak tersebut telah diminta memberi penerangan mengenai situasi sebenar kepada pengundi agar memilih Friday malah turut membantu kempen calon GPS itu.

Related posts

Leave a Comment