Omicron merebak lebih pantas

WASHINGTON 17 Dis. – Presiden Joe Biden memberi amaran semalam bahawa varian Covid-19, Omicron, akan “mula merebak jauh lebih pantas” di Amerika Syarikat, sambil menggesa rakyatnya mendapatkan vaksin atau dos penggalak.

“Satu-satunya perlindungan sebenar adalah dengan mendapatkan vaksinasi,” katanya, sambil meramalkan “musim sejuk penyakit yang teruk dan kematian” bagi mereka yang tidak divaksin.

Biden turut menekankan betapa pentingnya penduduk Amerika yang sudah divaksin mendapatkan dos penggalak dan bagi mereka yang belum divaksin pula, seharusnya mendapatkan suntikan dos pertama.

Sejurus sebelum itu, timbalan jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre membayangkan bahawa pentadbiran Biden belum merancang untuk menguatkuasakan langkah kawalan tertentu buat masa ini dan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada vaksinasi.

“Langkah-langkah sedia ada, kami tahu terbukti berkesan,” katanya, sambil menambah, “Kami hanya akan terus mempergiatkan usaha… untuk memastikan rakyat Amerika mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak.”

Para menteri kesihatan dari G7 pada Khamis menyeru kerjasama antarabangsa dalam usaha membendung varian Omicron, yang disifatkan sebagai “ancaman semasa terbesar terhadap kesihatan global.”

Related posts

Leave a Comment