Covid-19 tidak akan hilang

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran Covid-19 tidak akan hilang dan dunia tidak akan dapat mengalahkan pandemik itu dengan kaedah yang tidak diselaraskan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, vaksin sahaja tidak akan menghapuskan wabak itu sebaliknya vaksin mengelakkan kemasukan ke hospital dan kematian bagi majoriti yang mendapatnya dan memperlahankan penyebaran.

“Tetapi penularan tidak menunjukkan tanda untuk berhenti. Dan ini didorong oleh ketidaksamaan vaksin, keraguan dan rasa berpuas hati,” katanya.

Guterres membuat kenyataan itu dalam perutusan akhir tahun pada Khamis.

Diplomat PBB itu menambah “sudah menjadi jelas bahawa vaksin sahaja tidak akan menghapuskan pandemik itu.”

Sebanyak 98 negara tidak dapat memenuhi sasaran akhir tahun yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memvaksin 40 peratus penduduk dunia menjelang akhir 2021.

Menurut PBB, banyak negara tidak akan dapat mencapai matlamat untuk memvaksin 70 peratus penduduknya pada pertengahan tahun 2022.

Guterres juga mengeluh ketidaksamaan vaksin “memberi laluan kepada varian baharu untuk menjadi liar” dan “memudaratkan kesihatan orang dan ekonomi di setiap sudut dunia.”

Beliau menggesa negara untuk menggunakan pendekatan kolaboratif dalam memerangi wabak itu dan menekankan keperluan untuk pembaharuan sistem kewangan antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment