VTL diperluaskan mulai 20 Dis.

SINGAPURA 14 Dis. – Mulai 20 Disember ini, Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) Singapura-Malaysia melalui Tambak diperluaskan bagi membolehkan lebih banyak kumpulan penduduk melakukan perjalanan antara kedua-dua negara.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataannya bagaimanapun berkata, protokol ujian semasa di Singapura dan Malaysia tidak berubah.

Semua pelawat yang memasuki Singapura perlu mematuhi protokol ujian sedia ada dan langkah pengurusan selamat, termasuk menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) Covid-19 setiap hari selama tujuh hari. 

Ujian ART itu boleh dilakukan sendiri, tetapi pada hari ketiga dan ketujuh, ujian itu harus dilakukan di bawah pengawasan di pusat ujian.

Fasa pertama VTL darat antara Singapura dan Malaysia bermula hujung bulan lalu, pada hari yang sama dengan VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sebelum ini, di bawah aturan awal VTL darat, pelawat mestilah warganegara, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang negara yang mereka masuki.

Oleh itu, kemasukan ke Singapura melalui VTL darat dihadkan kepada warga Singapura, penduduk tetap Singapura dan pemegang pas jangka panjang Singapura.

Kemasukan ke Malaysia melalui VTL darat pula adalah bagi rakyat Malaysia, pemegang tetap Malaysia dan pemegang pas jangka panjang Malaysia.

Related posts

Leave a Comment