Muda: Kemenangan demokrasi negara

PUTRAJAYA 14 Dis. – Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Menteri Dalam Negeri mendaftarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukan kemenangan Muda semata-mata sebaliknya kepada sistem demokrasi negara.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu akan membolehkan parti itu menyuarakan pandangan dan kritikan dalam usaha membangunkan negara.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, kewujudan Muda bukan untuk membakar jambatan atau bermusuhan dengan parti lain.

Sebaliknya, beliau berkata, ia mahu membina jambatan serta membangunkan negara yang berbilang bangsa dan agama, melalui pendekatan memperkasakan politik khidmat supaya tidak ada sesiapa terutama golongan miskin yang tercicir, tanpa mengira latar belakang fahaman politik mereka.

“Kami bermula hampir setahun setengah yang lalu. Siapa Muda? Pengasasnya cikgu, peguam, doktor uda, petani muda, korporat muda yang mungkin tidak ada pengalaman politik yang panjang. Kita tidak ada wang lumayan dan kedudukan dalam Kerajaan tetapi yang kita ada adalah iltizam semangat juang demi negara tercinta,” katanya pada sidang media menerusi FB Live hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Menteri Dalam Negeri mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Syed Saddiq dan 12 individu untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar Muda sebagai sebuah parti politik.

Hakim Noorin membenarkan permohonan itu dan membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak pendaftaran Muda sebagai satu parti politik. Mahkamah turut memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan RoS membayar kos RM10,000 kepada Muda.

Menurut Syed Saddiq, Malaysia memerlukan politik Muda bagi menghapuskan zaman politik wang, kuasa dan kedudukan sebagai alat politik.

“Lebih satu tahun, saya dan pimpinan Muda turun naik ROS, ulang alik mahkamah.

Muda hanya mahu menjadi wakil terbaik dalam politik negara. Tetapi dihalang dan disekat. Kami tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya dengan bendera Muda.

“Kami tidak dibenarkan mendaftar ahli dengan sah. Saya sendiri dilabel sebagai Ahli Parlimen Bebas di dalam Dewan Rakyat,” katanya yang mendakwa sudah mempunyai 50,000 ahli.

Pendaftaran Muda dikemukakan kepada RoS pada 17 September tahun lalu, namun ditolak pada 10 Januari tahun ini.

Pada Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam satu sidang media, berkata pendaftaran Muda ditolak berikutan kegagalannya mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), berkaitan dengan perlembagaan parti.

Pada 4 Februari, Muda membuat rayuan kepada Hamzah susulan penolakan tersebut. Bagaimanapun, pada 11 Ogos, Hamzah dalam sepucuk surat menolak rayuan bagi pendaftaran parti itu tanpa menyatakan sebarang sebab penolakan.

Pada 21 September, hakim Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Saddiq memfailkan semakan undang-undang berhubung penolakan Hamzah terhadap permohonan Muda.

Related posts

Leave a Comment