Kebolehjangkitan lebih tinggi, kurang bahaya

WASHINGTON: Varian Omicron Covid-19 mungkin mempunyai tahap kebolehjangkitan lebih tinggi tetapi kurang berbahaya atau tidak seteruk varian-varian sebelumnya.

Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci berkata, kebanyakan kes awal Omicron kurang menyebabkan kemasukan ke hospital dan pesakit kurang memerlukan bantuan oksigen.

Bagaimanapun Ketua Penasihat Perubatan Presiden Joe Biden itu mengingatkan  ia mungkin akan mengambil masa selama beberapa minggu lagi untuk menilai keterukannya.

Beliau berkata, varian baharu itu  “jelas mudah berjangkit,” kemungkinan besar lebih mudah berjangkit berbanding Delta yang kini merupakan varian dominan di seluruh dunia.

Fauci yang juga Pengarah Institut Nasional Alahan dan Penyakit Berjangkit (NIAID) berkata bahawa hasil ujian daripada eksperimen makmal yang menguji kekebalan antibodi daripada vaksin-vaksin sedia ada terhadap Omicron seharusnya boleh diperolehi dalam “tempoh beberapa hari hingga seminggu akan datang.

Berhubung keterukan jangkitan varian Omicron, “ia hampir pasti tidak lebih teruk daripada varian Delta,” kata Fauci.

“Terdapat beberapa cadangan bahawa varian Omicron mungkin kurang teruk kerana apabila anda melihat pada segelintir kohort yang sedang dipantau di Afrika Selatan, nisbah antara jumlah jangkitan dan jumlah kemasukan ke hospital nampaknya lebih rendah berbanding dengan varian Delta.”

Namun beliau menekankan bahawa adalah penting untuk tidak terlalu mentafsir data ini kerana golongan penduduk yang dipantau sebahagian besarnya merupakan golongan muda dan kurang kemungkinan dimasukkan ke hospital.

Penyakit-penyakit teruk juga mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum ia mencapai ke peringkat itu.

“Saya rasa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa minggu lagi” untuk mengesahkan di Afrika Selatan, dari mana varian itu pertama kali dilaporkan pada November, katanya.

“Kemudian setelah lebih ramai orang dijangkiti di seluruh dunia, ia mungkin mengambil lebih masa untuk menilai keterukan jangkitan varian itu.”

Related posts

Leave a Comment