Kekal sabitan, hukuman Najib

PUTRAJAYA 8 Dis. – Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama  Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Dalam pembelaannya bekas Perdana Menteri itu mendakwa, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (Nationali embarrassment),” kata Abdul Karim.

Abdul Karim berkata, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

“Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan pengubahan haram berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati sabitan Mahkamah Tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat,” katanya.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Related posts

Leave a Comment