Aung Sann Suu Kyi dipenjara

YANGON 6 Dis. – Junta Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi selepas didapati bersalah kerana menghasut terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19.

Suu Kyi, 76 tahun, pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu ditahan sejak jeneral tentera merampas kuasa pada 1 Februari lalu, sekali gus menamatkan tempoh demokrasi di negara Asia Tenggara itu.

Sejak itu, beliau dikenakan beberapa siri tuduhan termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah, penipuan pilihan raya serta bakal berdepan hukuman puluhan tahun jika didapati bersalah.

Menurut laporan media, Suu Kyi dihukum penjara dua tahun atas dakwaan menghasut rakyat untuk menentang pemerintahan tentera dan dua tahun lagi kerana melanggar undang-undang bencana alam berkaitan dengan Covid.

Bekas Presiden, Win Myint juga dipenjara selama empat tahun di bawah tuduhan sama dan kedua-dua pemimpin itu belum dihantar ke penjara.

Susulan itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International mengutuk hukuman ke atas Suu Kyi sebagai satu lagi tindakan tentera untuk menghapuskan pembangkang dan menyekat kebebasan di Myanmar.

Related posts

Leave a Comment