‘Di depan, di belakang kena vaksin’

SEPANG 1 Dis.- Memang tidak kena jika di depan divaksin, di kaunter tidak divaksin. Justeru memang wajar penjawat awam yang sudah menerima vaksinasi lengkap sahaja dibenarkan berurusan secara terus dengan orang ramai.

Ini kerana orang awam yang datang berurusan di pejabat kerajaan perlu memenuhi syarat lengkap vaksinasi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata syarat vaksinasi lengkap itu bukan sahaja membabitkan kakitangan di barisan hadapan atau kaunter, malah merangkumi semua penjawat awam.

“Kita minta yang berada di hadapan supaya divaksin, begitu juga yang di belakang kaunter. Takkan di depan, divaksin, yang belakang kaunter tidak divaksin.

“Masuk pejabat kerajaan semua kena vaksin, tak kanlah penjawat awam tidak divaksin?,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Khairul Adib dilaporkan berkata, ketika ini, pihaknya sedang memadankan data yang ada di JPA dengan data di Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk nama penjawat awam yang sudah mendaftar melalui MySejahtera tetapi belum mendapatkan vaksinasi.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan JPA pada 18 Oktober lalu, menetapkan tindakan tata tertib atau ditamatkan perkhidmatan boleh diambil terhadap penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada Ketua Jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tata tertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam adalah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam juga berdepan hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

JPA turut memaklumkan seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan setakat 30 Oktober lalu.

Related posts

Leave a Comment