Omicron : Warga emas Sinovac berisiko

PUTRAJAYA 1 Dis. – Warga emas yang melengkapkan dua dos vaksin Sinovac merupakan kumpulan paling berisiko dengan kemunculan varian baharu, Omicron, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Sinovac adalah vaksin yang paling cepat menurun keberkesanannya berbanding vaksin jenis lain manakala varian Omicron kebolehjangkitannya lebih tinggi berbanding Delta.

Justeru, mereka diminta mendapatkan dos penggalak dengan segera berikutan perkembangan terkini varian Omicron itu.

“Walaupun belum ada (Omicron) di Malaysia, langkah pencegahan perlu dibuat untuk semua warga emas supaya menerima dos penggalak terutama yang mendapat Sinovac (sebelum ini) disebabkan tempoh masa Sinovac menurun lagi cepat berbanding Pfizer,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khairy berkata, setakat hari ini sebanyak 2,457,510 dos penggalak diberikan walaupun pada peringkat awal kadar ketidakhadiran janji temu adalah tinggi iaitu 40 peratus.

Bagaimanapun katanya, apabila kementerian memperkenalkan senarai menunggu, kadar ketidakhadiran menurun secara drastik dan ia hampir memenuhi kapasiti pusat pemberian vaksin pada setiap hari.

“Saya telah minta kapasiti pemberian dos penggalak sebanyak 120,000 sehari ditingkatkan kepada 150,000 dan seterusnya ditingkatkan kepada 200,00 secara berperingkat,” katanya.

Khairy juga menasihatkan warga emas dan individu dengan komorbiditi supaya tidak membuat perjalanan ke luar negara dan mengelakkan dari menghadiri kawasan awam yang sesak.

Katanya, nasihat tegas itu bagi melindungi golongan itu yang mudah dijangkiti virus Covid-19 varian Omicron.

“Kalau tak dapat elak, kita faham. Tetapi kalau dapat elak jangan bawa warga emas ke tempat sesak pada masa ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment