Maszlee Malik sertai PKR

KLUANG 27 Nov. – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini pada program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, di sini.

Bekas Menteri Pendidikan itu menyifatkan penyertaan dalam PKR itu ibarat sirih pulang ke gagang apabila mendedahkan pernah didaftarkan sebagai ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada 2017.

“Sementelahan Keadilan berada dalam situasi dan populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini terutamanya selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya terpanggil melakukan sesuatu untuk membawa perubahan.

“Ada yang mengejek mengapa masuk parti kalah, malah presidennya diserang dari pelbagai sudut oleh lawan dan segelintir kawan. Lebih malang ada yang sindir apa ertinya sertai Keadilan ketika mereka sedang lemah dan tidak menjadi pilihan.

“Saya katakan inilah harga sebuah perjuangan (kerana) saya tidak masuk parti untuk mengaut laba keuntungan dan tidak mahu menjadi opurtunis politik yang tukar parti untuk dapat jawatan atau ganjaran,” katanya ketika berucap.

Maszlee menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Simpang Renggam.

Beliau pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

Maszlee dipecat dari Bersatu pada Mei tahun lalu susulan konflik dalaman yang tercetus akibat keputusan parti itu untuk keluar daripada PH.

Beliau kemudian bersama Dr Mahathir Mohamad dalam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebelum meninggalkan parti itu pada November tahun lalu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas

Related posts

Leave a Comment