Singapura – Malaysia lancar VTL 29 Nov.

SINGAPURA 24 Nov. – Singapura dan Malaysia akan melancarkan laluan darat skim Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) mulai Isnin depan, 29 November.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, di bawah fasa pertama VTL darat, para pelawat perlu menaiki bas VTL yang ditetapkan.

Selain itu, hanya pelawat yang merupakan rakyat, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang setiap negara, yang dibenarkan bagi skim VTL darat tersebut.

Ini untuk memberi keutamaan kepada mereka yang bekerja di Singapura atau Malaysia untuk bertemu dengan keluarga.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, pelancaran VTL adalah langkah besar dalam usaha menghubungkan semula penduduk dan ekonomi dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Malaysia adalah jiran terdekat Singapura dan kedua-dua negara berkongsi hubungan erat dan muhibbah. Koswe adalah salah satu sempadan darat paling sibuk di dunia sebelum pandemik COVID-19 mengganggu kegiatan rentas sempadan kita,” katanya.

Terdapat 32 khidmat bas VTL darat yang ditetapkan untuk memasuki Malaysia dan Singapura setiap hari, dengan kapasiti maksimum 45 penumpang bagi sehala.

Ini bermakna kuota harian bagi skim VTL darat adalah sekitar 2,900 pelawat secara keseluruhannya, dengan 1,400 penumpang bagi sehala.

Transtar Travel akan mengendalikan 32 perjalanan yang ditetapkan setiap hari – 16 dari Malaysia dan 16 dari Singapura antara Pusat Sementara Pertukaran Bas Woodlands di Singapura dan Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru.

Handal Indah juga akan mengendalikan 32 perjalanan sehari antara Terminal Bas Larkin Sentral dengan Terminal Queen Street di Singapura.

Tiket-tiket bas akan mula dijual pada pukul 8 pagi esok (25 Nov) dan tiket-tiket akan dijual seawal 30 hari sebelum keberangkatan. Para pelawat juga dikehendaki membeli tiket bas sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berangkat.

Para pelawat yang tiba di Singapura menerusi cara lain selain khidmat bas yang ditetapkan akan tertakluk kepada langkah-langkah pengawalan sempadan sedia ada, termasuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari.

Related posts

Leave a Comment