PN bakal pencabar utama BN

MELAKA 21 Nov. – Kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini tidak menjejaskan gabungan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan terus menjadi wadah politik kepada rakyat Malaysia.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, PN juga bakal menjadi pencabar utama Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang.

“Kita sudah berhijrah dan yakin prinsip asas Bersatu dan PN tidak lain menawarkan suatu bentuk parti mendokong kerajaan yang lebih baik dan prinsip ketelusan. Apakah saya akan tinggalkan parti saya dan kembali kepada parti asal saya (UMNO)? Itu sesekali tidak akan berlaku.

“Rakyat ada pilihan untuk membuat pertimbangan supaya kita dapat tawarkan sesuatu yang lebih baik,” katanya yang juga Presiden Bersatu pada sidang media di sini selepas mengadakan perjumpaan lebih dua jam dengan barisan kepemimpinan tertinggi PN malam tadi

PN hanya menang dua daripada 28 kerusi yang ditandinginya dalam PRN Melaka, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan DUN Bemban.

Muhyuddin berkata, PN akan menjalankan kajian mendalam berkaitan kekalahan dalam PRN Melaka, dengan tumpuan kepada peratusan pengundi keluar yang rendah, jentera parti serta beberapa masalah lain.

“Kekalahan ini akan menjadi pengajaran dan panduan langkah seterusnya yang akan diambil PN dalam pilihan raya akan datang. PN bersedia apa-apa saja kemungkinan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum dan PRN, ia adalah jihad dan kita mahu pengundi beri penilaian yang adil apa yang kita pertaruhkan,” katanya.

Tambahnya, kerjasama dengan kerajaan di peringkat Persekutuan yang sedia terjalin sebelum pilihan raya tidak terjejas supaya tidak mengganggu proses membantu rakyat ketika Covid-19.

“Pengalaman di Melaka akan ambil kira kedudukan kita pada masa akan datang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment