Angkat sumpah jawatan awal pagi

MELAKA 21 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Istana Negeri di sini, pukul 1 pagi ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama.

Turut hadir isteri Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abd Rahman, Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Tun Razak.

Sementara itu, Sulaiman turut menjelaskan mengapa istiadat mengangkat sumpah jawatan berkenaan diadakan pada awal pagi ini berbanding jadual asal pada petang ini.

Katanya,  perkara itu perlu disegerakan kerana ada Mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada Selasa, disusuli dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Lumpur.

“So (Jadi) masa itu agak suntuk, besok (hari ini) dah hari Ahad, kemudian banyak perkara yang perlu kita perbincangkan dulu dengan Tuan Yang Terutama Tun. Apabila finalised (dimuktamadkan) hari Selasa kita nak bergerak (ke kedua-dua mesyuarat tersebut)… kena angkat sumpah juga pada malam ini,” katanya.

Beliau juga memberitahu, senarai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri bagi membantu pentadbirannya akan diumumkan pada minggu depan.

Katanya beliau akan meneliti perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum membincangkannya dengan Yang Dipertua Negeri Melaka..

Sulaiman juga berjanji akan menjadi pemimpin untuk semua rakyat negeri Melaka tanpa mengira etnik, kaum, bangsa mahupun agama.

“Sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu saya akan menunaikan kewajipan seperti rakyat negeri Melaka mahukan serta menggalas aspirasi Tuan Yang Terutama Tun dalam memasyhurkan negeri Melaka di persada antarabangsa, ” katanya.

Related posts

Leave a Comment