KUALA LUMPUR 4 Okt. – Golongan pendidik sama ada pengetua atau guru digesa lebih peka melakukan pemantauan dan rondaan sepanjang waktu persekolahan bagi memastikan persekitaran dalam kawasan sekolah lebih selamat.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr Ibrahim Ali berkata, mereka memikul tanggungjawab lebih besar dalam memastikan keselamatan sebaik sahaja pelajar berada dalam kawasan sekolah sehingga selesai sesi persekolahan.
“Tugas guru bukan sekadar mengajar, sebaliknya perlu mengambil berat terhadap keadaan pelajar dari mereka memasuki sekolah sehingga pulang,” kata Ibrahim selepas majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk Allahyarham Dr Hasmah Mohd Ali di ibu pejabat parti di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Ibrahim turut menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memperkukuh kerjasama dengan pihak sekolah dalam melaksanakan program berkaitan disiplin, sahsiah dan keselamatan pelajar.
Beliau mengulas kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor semalam
Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 ditemukan mati dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng, dan susulan itu tiga pelajar lelaki yang dipercayai ada kaitan kes ditahan bagi membantu siasatan.
Ibrahim berkata, guru juga perlu sentiasa mengawasi dan memerhati pergerakan atau tingkah laku pelajar terutama apabila melibatkan kumpulan yang bising, bergaduh atau menunjukkan tingkah laku mencurigakan.
Katanya, tugas guru perlu diatur dengan betul supaya ada ruang untuk turun melakukan rondaan, bukan sekadar berada di bilik masing-masing.
“Tugas itu perlu diatur dengan betul. Guru perlu melihat kiri, kanan, depan dan belakang serta sentiasa peka terhadap apa yang berlaku,” katanya yang tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kejadian kerana ia masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, katanya, kes yang berulang di dalam kawasan sekolah lebih-lebih lagi membabitkan kematian pelajar perlu menjadi peringatan supaya aspek keselamatan diberi perhatian lebih serius.
Tegasnya, isu keselamatan memerlukan usaha berterusan dan kerja berpasukan, yang tidak semestinya meletakkan anggota polis atau tentera di setiap sekolah.
“Guru-guru sendiri perlu berkorban sedikit dan melihat pelajar sebagai anak sendiri. Kalau semua cakna, prihatin dan proaktif, insya-Allah perkara seperti ini boleh dielakkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau membidas kecenderungan sesetengah pihak yang hanya meminta siasatan atau penjelasan selepas sesuatu kejadian berlaku, sedangkan mereka juga perlu mengemukakan usaha pencegahan.
Katanya, sudah lumrah selepas berlaku sesuatu, yang muncul desakan siasat, tubuh jawatankuasa dan minta menteri beri penjelasan atau letak jawatan.
“Yang lebih penting ialah apa langkah untuk mengelakkan perkara sama daripada berulang,” katanya.
