Tiga ADUN tarik sokongan tewas

MELAKA 21 Nov. – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sehingga membawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka gagal dalam saingan merebut kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang diterima sebagai ahli PKR sebelum bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Fairul Nizam Roslan.

Fairul Nizam memperoleh  4,939 undi, menang dengan majoriti 747 undi berbanding Idris memperoleh 4,192 undi.

Seorang lagi calon dari Perikatan Nasional (PN), B.Dhanesh mendapat 3,879 undi dan tiga lagi calon Bebas yang turut bertanding gagal memberikan sebarang impak.

Seorang lagi ADUN yang menarik sokongan, Noor Azman Hassan menyertai Amanah sebelum bertanding sebagai calon PH di DUN Pantai Kundor, turut tewas.

Calon BN, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim memperoleh 2,341 undi berbanding calon PN, Mohamad Ridzwan Mustafa, 1,961 undi manakala Nor Azman, 1,752 undi.

Bekas ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee, yang bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahankan kerusi itu sekadar meraih 1,218 undi.

Kerusi itu dimenangi oleh calon BN, Kalsom Nordin dengan majoriti 131 undi selepas memperoleh 4,830 undi, menewaskan calon PH, Muhamad Danish Zainudin dengan 4,708.

Dalam saingan itu, calon PN, Mohd Azrudin Md Idris memperoleh 2,681 undi.

Walaupun tewas dalam saingan itu, undi yang diperoleh Norhizam adalah yang tertinggi dalam kalangan 22 calon Bebas yang mengambil bahagian dalam PRN Melaka.

Seorang lagi ADUN yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri iaitu penyandang kerusi DUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad, tidak bertanding.

Related posts

Leave a Comment