Empat pengerusi parti tewas

MELAKA 21 Nov. – Empat pengerusi parti negeri – Bersatu, DAP, Gerakan dan Pas yang turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam tewas.

Mereka ialah Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Mohd Rafiq Naizamohideen; Pengerusi DAP negeri, Tey Kok Kiew; Pengerusi Gerakan negeri, Michael Gan Peng Nam dan Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek.

Mohd Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka meraih 3,979 undi di DUN Telok Mas, tewas dengan majoriti 2,076 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Abdul Razak Abdul Rahman yang memperoleh 6,052 undi.

Di kerusi itu, calon Pakatan Harapan (PH), Asraf Mukhlis Minghat memperoleh 3,891 undi dan calon Bebas, Muhammad Ariff Adly Mohammad (153).

Sementara itu, Kok Kiew yang sebelum ini selesa di kerusi DUN Bandar Hilir dengan majoriti 11,313 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu juga tewas selepas berpindah ke kerusi DUN Bemban kali ini.

Beliau yang memperoleh 3,095 undi kalah dengan majoriti tipis 328 undi di tangan calon muka baharu PN, Dr Yadzil Yaakub yang meraih 4,211 undi.

Sementara Peng Nam yang bertanding di DUN Ayer Keroh hanya meraih 2,479 undi berbanding dua lagi saingannya iaitu calon DAP, Kerk Chee Yee (9,459) dan calon BN Yong Fun Juan (3,835).

Di DUN Duyong, Kamarudin yang berdepan saingan enam penjuru tewas dalam percubaan kali kedua di kerusi sama.

Kerusi itu yang dimenangi DAP pada PRU lalu bertukar tangan kepada Mohd Noor Helmy Abu Halen daripada BN, yang mendapat 4,684 undi berbanding penyandang kerusi itu, Damian Yeo Shen Lie (4,484).

Related posts

Leave a Comment