Rakyat Jerman digesa ambil vaksin

BERLIN: Canselor Jerman, Angela Merkel menyeru penduduk di negara itu yang belum divaksinasi supaya segera mendapatkan suntikan berikutan kadar jangkitan Covid-19 mencecah angka baharu tertinggi dengan jumlah korban turut meningkat.

Kadar jangkitan di negara itu meningkat kepada 277.4 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh tujuh hari. Ia adalah peningkatan daripada 263.7 hari sebelumnya.

Merkel menyatakan kebimbangannya tentang bilangan pesakit rawatan rapi yang tinggi dan peningkatan jumlah kematian, terutamanya di kawasan yang mempunyai kadar vaksinasi yang rendah.

Institut Robert Koch melaporkan 45,081 jangkitan baharu, dua hari selepas jumlah harian melebihi 50,000 buat kali pertama.

Sebanyak 228 lagi kematian Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Jerman akibat wabak itu setakat ini adalah 97,617.

Walaupun kadar jangkitan belum setinggi di beberapa negara Eropah lain, peningkatan berterusan di Jerman telah mencetuskan kebimbangan.

Merkel yang merancang bertemu dengan 16 gabenor negara itu akan menyelaraskan langkah-langkah di seluruh negara minggu depan.

Parlimen juga sedang mempertimbangkan undang-undang yang akan menyediakan rangka kerja undang-undang baharu untuk sekatan sepanjang musim sejuk.

Jerman bergelut untuk membawa momentum baharu kepada kempen vaksinasinya sejak kebelakangan ini, dengan lebih dua pertiga daripada populasi telah divaksin sepenuhnya.

Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, yang belum boleh mendapatkan vaksin di Jerman adalah antara kumpulan yang paling teruk terjejas.

Related posts

Leave a Comment