2,304 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 14 Nov. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 2,304 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari semalam dengan 14 lagi pesakit meninggal dunia.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 235,480 kes dan 576 kematian.

Menurut MoH, kes baharu dalam masyarakat adalah 2,179 dengan lima kes import dan 120 kes di asrama pekerja asing.

Kes kematian pula melibatkan individu berusia 61 hingga 94 tahun, kesemuanya kecuali satu belum divaksin dan mempunyai pelbagai penyakit.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 0.98, berbanding 1.04 yang dicatatkan pada Jumaat.

Sementara itu, sebanyak 1,574 pesakit masih dirawat di hospital di mana 253 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 51 tidak stabil dan dipantau rapi di ICU, 72 sakit tenat dan perlu intubasi di ICU.

Keseluruhan kadar penggunaan ICU adalah sebanyak 66.3 peratus

Seramai 2,539 pesakit dibenarkan pulang dengan 389 adalah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Mengenai vaksinasi 85 peratus lengkap divaksin dua dos, dan 86 peratus menerima satu dos manakala 20 peratus sudah disuntik dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment