Kabinet ‘reformasi melegakan pengundi PH’

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Ketika pemimpin Perikatan Nasional (PN) terus mengkritik Kabinet Kerajaan Perpaduan, Dewan Pemuda Pas (DPP) Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ‘kerajaan campuran’ pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sama ada ia satu sindiran atau sebaliknya, Timbalan Ketua DPP, Afnan Hamimi dalam kenyataannya menzahirkan ucapan itu berikutan pengumuman barisan Kabinet yang dakwanya ‘cukup mantap dan membawa semangat reformasi’.

“Pemuda Pas melihat pengumuman ini pasti memberikan ‘kelegaan dan kegembiraan’ kepada rakyat, khususnya pengundi Pakatan Harapan (PH) yang tekad melawan kleptokrasi dan mahukan semangat reformasi dalam pentadbiran kerajaan baharu,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan yang agak sinis, Afnan berkata reformasi terbesar Kabinet ‘Kerajaan Campuran’ kali ini adalah dengan pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi.

“Pelantikan ini selaras Tawaran ke-2 dalam 10 Manifesto Pakatan Harapan, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi,” katanya.

Di samping itu Kabinet ‘Reformasi’ ini juga turut dianggotai Nga Kor Ming, pemimpin DAP ekstrim yang masyhur dengan ceramah berbaur perkauman, sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

“Ini bukti Pakatan Harapan sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman. Dengan pelantikan ini, hasrat DAP untuk melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya,” katanya.

Katanya, kejayaan paling besar Kabinet ‘Reformasi’ itu apabila PH bertindak tidak meletakkan semula menteri-menteri mereka yang dicanang sebagai kejayaan dan kebanggaan Kabinet PH pada 2020.

“Contohnya, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai Menteri Kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen berkenaan yang kalah dilantik pula menjadi menteri .

“Pemuda Pas mengucapkan tahniah atas pembentukan Kabinet ‘Reformasi’ ini. PAS akan terus memainkan peranan kami semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa yang akan menyemak imbang setiap tindak tanduk kerajaan campuran PH, BN ini!,” katanya.

Related posts

Leave a Comment